Followers

Saturday, May 14, 2011

Muhammad Pirasteh - Kisah 3 Orang Kaya


Saya masih  nak sambung cerita Encik Mohammad Pengurus butik yang saya tuliskan kisah khandooranya semalam. Bagi siapa-siapa yang pernah baca entry saya sebelum ni, saya juga pernah menulis kisah Muhammad dari Mesir. Terlalu ramai yang bernama Muhammad di sini termasuklah saya juga kadang-kadang dipanggil Muhammad disebabkan nama penuh saya iaitu Mohammad Zaki. Untuk lebih memudahkan cerita saya namakan Encik Mohammad pengurus butik tu sebagai En Mohammad Iran saja.

Sudah menjadi kebiasan buat saya untuk datang ke butik beliau untuk mengambil stok jubah saya. Maklumlah saya berniaga secara kecil-kecilan makanya ambil stok pun sikit demi sikit mengikut tempahan. Alhamdulillah beliau banyak membantu dan memudahkan urusan saya. Layanan yang diberikan oleh beliau sama saja seperti mana yang diterima oleh pelanggan-pelanggan lain.

Katanya pemilik butik dua tingkat ini adalah merupakan juga pemilik kepada bangunan 10 tingkat ini. Butiknya berada tingkat bawah sekali. Berasa ingin lebih tahu saya pun bertanya siapa sebenarnya pemilik kepada bangunan tesebut. Beliau merupakan warga tempatan Emiriah yang mempunyai banyak lagi syarikat lain seperti di German, Itali, dan beberapa bangunan lain lagi di Dubai. Tergamam saya dibuatnya melihatkan kad nama Syeikh teserbut panjang dan penuh dengan senarai nama syarikatnya. Saya tanya lebih lanjut berapa agaknya aset atau property yang dimiliki Syeikh tesebut, tapi Mohammad Iran tak mengetahuinya.

Teruja mendengarkan penerangannya membuatkan saya berkata “Bagai manalah rasanya ya menjadi seorang yang kaya raya macam tu? Apa lah mereka nak buat dengan harta sebegitu banyak”

“Saya bagitahu kamu ya Zaki, tak semuanya indah. Percayalah ianya taklah seindah mana” kemudian beliau menyambung ceritanya lagi.

"Masa saya kecil dulu, ayah saya pernah membuka sebuah kedai fabrik di Dubai. Saya selalu ikot ayah saya ke kedai kainnya. Saya selalu melihat gelagat pelanggan ayah yang sering datang ketika itu. Antara kisah yang paling saya ingat, saya tengok seorang pelanggan wanita yang biasanya datang menempah pakaian dan membawa bersama dua orang anaknya. Saya hairan mengapa dia selalu menangis apabila bercerita dengan ayah saya. Maklumlah apabila kita berniaga, kita bukan sahaja menjalankan urusan perniagaan semata-mata. Dalam masa yang sama kita turut menjalinkan hubungan persahabatan seperti apa yang kita sedang buat ni Zaki. Itu adalah salah satu cara terbaik untuk mengekalkan kesetiaan pelanggan untuk terus bersama kita. Ayah menerangkan kepada saya bahawa wanita tersebut berdarah keturunan raja yang sememangnya kaya. Beliau sudah berkahwin dan kemudiannya bercerai dan ditinggalkan oleh suaminya bersama dua zuriat. Sebab itulah beliau sering berduka menceritakan masalahnya pada ayah saya. Ayah saya juga berpesan, kita memang digalakkan untuk mencari harta sebanyak yang boleh, tapi janganlah terlalu yakin yang kekayaan itu akan membawa kepada kebahagiaan. Kita cuba selagi boleh dan dalam masa yang sama masih menikmati apa yang ada disekeliling kita. Pada masa tu saya muda lagi, dan saya sekuatnya percaya yang duit dan hartalah segala-segalanya.

Kemudian cerita seorang lagi pelanggan setia ayah saya. Dia menjadi kawan rapat ayah saya pada ketika itu. Kami sekeluarga pernah dijemput hadir untuk makan di rumahnya. Rumah beliau memang besar. Masa tu saya masih kecil, jadi saya bayangkan itu adalah istana raja. Perhiasan dalam rumahnya pun cantik-cantik dan mahal belaka. Bila tiba masanya untuk kami makan. Keluarga kami dan keluarga kawan ayah saya tu duduk semeja. Hidangan penuh memenuhi meja yang besar luar biasa saiznya. Segala jenis daging dan buah-buahan serta minuman yang sangat lazat dihidang buat kami pada haritu. Tapi saya lihat kawan ayah tidak langsung menjamah makanan yang ada pada ketika itu. Sebalikknya isteri beliau membawa semangkuk bubur yang putih nampak seperti tiada isinya. Saya hairan mengapa beliau tidak menyentuh satupun makanan yang terhidang ketika itu. Setelah pulang saya bertanya pada ayah, katanya kawannya itu tidak boleh memakan sebarang makanan. Disebabkan penyakit ususnya yang tidak membenarkan beliau memakan sebarangan. Termasuklah buah sekalipun. Saya pun tak tahu penyakit sebegitu wujud pada masa tu.

Dan seorang lagi merupakan kawan baik kepada ayah saya juga. Kamu kenal sama pemilik kepada stesen TV Al-Jazeera? Namanya... Jadi kamu dapat bayangkanlah kekayaan beliau kerana Al Jazeera itu bukanlah satu-satunya perniagaan yang beliau ada.  Dia mempunyai seorang anak lelaki tunggal. Diberikan segala kemewahan dengan menunaikan apa sahaja yang diminta oleh anaknya. Pada umur 16tahun, si bapa sudah menghadiahkan sebuah kereta BMW yang ditempah khas berharga kira-kira 350,00 Dhs. Dihantarkan anaknya belajar ke Amerika. Dan tak sampai setahun kembali pulang ke sini, kami mendapat berita yang anaknya mati akibat kemalangan kereta. Ya anaknya pergi dengan ketentuan dariNya. Tapi mungkin silap ayahnya juga memanjakan anaknya dengan kemwahan melampau. Saya tanya kamu Zaki, apa guna lagi duit dan harta tersebut jika kamu kehilangan orang tersayang. Kalau saya bagi duit sebanyak 1juta Dirham, adakah kamu sanggup memotong jari kelinking kamu? Tuhan Maha Adil sahabat. Diberikan kemewahan, ditarik pula kenikmatan lain. Kita sebagai manusia ni perlu sabar dengan setiap dugaan. Bukankah Tuhan sayang kita sebab itu Dia menguji kita kan. Berbalik pada cerita kaya tadi, jadinya bagi saya kehidupan menjadi hartawan ni bukanla seindah mana. Tapi saya menyokong apa yang kamu buat sekarang Zaki. Saya suka dan teruskan, yang penting kita masih ada masa untuk diri sendiri dan keluarga. Nikmat yang ada ni, selagi ada kamu gunalah sebaiknya................


Suatu hari nanti kita keluar minum kopi bersama ya. Sekarang ni keadaan kesihatan saya kurang memberansangkan. Pagi tadi saya hampir pitam disebabkan tekanan darah rendah saya. Saya tak boleh terlalu stress dan kebetulan harini terlalu banyak yang perlu diselesaikan. Nasib baik pada masa tu Ahmad ada berhampiran saya dan dia cepat-cepat bawakan air manis buat saya. Biasanya saya bawa gula-gula letak di dalam poket. Tapi harini saya terlupa. Apa gunanya Zaki kalau saya ada duit, emas dan harta lain kalau sebentar tadi tiada sesiapa berada di sekeliling saya."

5 comments:

Norhaidatul Azian Tajul Ariffin said...

Akie,
Banyak harta dunia yang dikecapi,Allah sering pula 'menarik' sesuatu daripada hambaNya itu. Apa yang dikatakan oleh Tuan Muhammad ni betul dan dh banyak kes mcm ni keliling kita. Banyak teladan, harta melimpah tidak menjamin kebahagiaan. Tidak ada guna,jika satu satu nikmat dunia ditarik. Justeru itu hidup ini kita lalui dengan sederhana. Setiap orang punya impian,namun zuhudkan ianya bukanlah di dalam bentuk materi keseluruhannya. Doa2lah ya,agar kita ini bersikap jauh dari ketamakan dan moga tidak sibuk mencari harta dunia sebelum sesaat dijemput. Nauzubillah

silent reader(NNA) said...

kadang...kekayaan & harta yg melimpah ruah bleh dtgkn lebih keburukan utk kite,,kite mudah alpa..
Ada yg megah dengan rumah mewah, hingga lupa matinya dia berumahkan tanah. Ada yg sombong dengan pangkat yang gah, hingga lupa matinya dia berpangkatkan jenazah. Ada yg angkuh dengan harta melimpah, hingga lupa matinya dia berhartakan amal jariah. Ada yg bangga dengan teman sedarjah, hingga lupa matinya dia bertemankan kala jengking & cacing tanah. Ada yg telah lupa. Ada yg sedang lupa. Semoga tiada yg akan lupa.

Akie Jack said...

Thank u so much NNA! Peringatan buat kita semua.
Moga2 susah dan senang, kita tetap ingat padaNya :)

silent reader(NNA) said...

my pleasure ZA...smue rezeki tu hak milikNya..kite diberi pinjam kejap je,,if DIA nk amek blk,,anytime kn..''beringat sebelum berigat''..

Akie Jack said...

InshaAllah. beringat selalu. thanks