Followers

Monday, January 10, 2011

800 Tahun Meraikan RUMI - Istanbul Winter Trip

Dimulakan dengan selawat, iringan paluan gendang dan kemudiannya tiupan ney(seruling). Setelah beberapa minit menanti, sekumpulan lelaki berpakaian seragam jubah hitam besar seperti sarung dan kelihatan jubah putih di dalamnya yang melebar ke bawah. Mereka yang digelar sebagai darwis ini membongkokkan badan sebagai tanda hormat dan kemudiannya membuka jubah hitam mereka. Wajah masing-masing kelihatan tenang dan agaknya sedang berada dalam mood yang sepatutnya. Kedua-dua belah tangan mereka diletakkan di dada secara menyilang dan bahu seakan cuba dirapatkan. Dalam hati aku masih berteka-teki apa yang mereka cuba pamerkan, adakah mereka cuma akan berpusing-pusing seperti apa yang dilihati di tv sebelum ini. Set pentasnya mengingatkan aku pada rancangan ‘Who Wants To Be A Millionaire’. Irama muzik sungguh melekakan dan ditambah pula dengan sinaran lampu yang agak malap itu membuatkan aku begitu ‘asyik’. Asyik sehingga membuatkan aku terlelap seketika membuai mimpi indahku. “Oh itu ketua dia rupanya”. Ah suara member aku yang berbisik memberikan signal yang dia sedang fokus melihat tarian tersebut membuatkan mata aku jadi segar semula. Aku masih belum ketinggalan disebabkan mata cuma terpejam untuk sesaat dua. Ya, memang kelihatan seakan-akan ketuanya yang masih bersama jubah hitam berada di tengah-tengah lingkaran darwis yang lain . Tiba giliran ketuanya mengambil tempat lalu membongkokkan badan pada darwis lain sambil membalas hormat. Mereka membentuk barisan satu per satu dan dengan arahan ketuanya, maka upacara tarian pun dimulakan.

Tangan mereka masih menyilang di bahu dengan kaki yang tidak beralas dirapatkan. Maka bermulalah gerakan putar yang perlahan dengan menggunakan tumit kaki sebagai pusat tumpuan yang silih berganti sementara kaki yang satu lagi seakan pengayuh untuk berputar. Tangan mula dilepaskan dari bahu dan seterusnya diangkat menghadap ke atas dan tangan kirinya dilepaskan ke bawah. Makin lama makin laju gerakannya seperti mengikut rentak iringan iramanya. Aku perhatikan mata masing-masing kelihatan sayu dan makin lama dipejamkan. Kepala mereka semakin sondong dengan topi putih yang mereka kenakan itu. Mereka kelihatan seperti khayal. Dan membuatkan aku terpegun dengan suasana ketika itu. Momen yang boleh dikatakan aneh bagi aku. Berasa tenang dan kusyuk menyaksikan sesuatu yang aku sendiri pun kurang tahu apa makna disebaliknya.

Mereka terus berpusing dan berpusing sehingga hatiku terdetik “bila nak berhenti pusing ni?”. Gendang masih terus dipalu dan sementara alunan serunai pula makin mengalun syahdu. (Tapi kata member aku serunai melayu bunyinya lebih syahdu lagi). Melihatkan penonton lain juga sedang kusyuk memerhatikan tarian ritual ini membuatkan aku tertanya-tanya adakah mereka memahami erti disebalik tarian ini. Atau sama macam aku yang hanya teringin melihatnya secara live depan mata sendiri. Ada juga seorang dua penonton yang kelihatan tidur lena. Mari kita cuba fahami erti disebalik gerakan pada tarian tersebut.


  • Simbolik pada posisi tangan yang membentang itu menunjukkan bahawa hidayah Allah diterima dengan tapak tangan kanan yang dibuka ke atas lalu disebarkan ke seluruh makhluk melalui tangan kiri. Mempersembahkan sebuah penyerahan dan penyatuan dengan Tuhan.
  • Pakaian yang dikenakan juga adalah merupakan metafora yang penuh makna. Jubah hitam adalah sebagai symbol alam kubur yang dibuka atau dilepaskan member maksud kelahiran kembali menuju kea rah kebenaran.
  • Jubah putih pula adalah melambangkan kain kafan yang mengurungkan rasa ego.
  • Seruling buluh membawa erti terompet yang ditiupkan malaikat di hari kebangkitan untuk menghidupkan kembali orang yang telah mati.
  • Karpet merah yang dibentang tadi pula melambangkan keindahan matahari dan langit yang waktu itu menghiasi pe pergian Rumi buat selamanya.
  • Putaran tubuh melambangkan electron yang sedang bertawaf mengelilingi pusatnya yang menuju pada Yang Maha Esa.

Dalam pada itu, ketuanya mula berdiri. Pukulan gendang semakin cepat mengikut rentak kayuhan putaran darwis. Kemudiannya ketua memberikan isyarat untuk berhenti dan muzik pun dengan perlahannya berhenti sama. Sema diakhiri dengan bacaan ayat Al Quran dari Surah Baqarah ayat 2:115

Dan Allah jualah yang memiliki timur dan barat, maka ke mana sahaja kamu arahkan diri (ke kiblat untuk mengadap Allah) maka di situlah arah yang diredhai Allah; sesungguhnya Allah Maha Luas (rahmatNya dan limpah kurniaNya), lagi sentiasa Mengetahui.

Dan kemudiannya bacaan doa dan selawat ke atas junjungan Nabi Muhammad s.a.w dan para sahabat. Mereka semua berundur diakhiri tanpa sebarang tepukan kerana ini bukanlah tarian suka suki. Dan aku terpinga-pinga menanti kalau mereka muncul kembali sehinggalah ada salah seorang penonton yang mula bangun meninggalkan tempat duduknya

Segala cinta adalah merupakan jambatan menuju Cinta. Sesiapa sahaja yang tidak merasakannya tidak akan pernah tahu

Tubuh berputar berlawanan arah jarum jam melambangkan para penari meraikan kemanusian dengan cinta. Tuhan menciptakan dan memberikan cinta itu agar dapat menghilangkan semua batasan yang ada di antara semua makhlukNya(batasan di sini bermaksud batasan agama, budaya dan bangsa). Agar dapat saling menyintai antara satu sama lain. Dengan itu dapat menjadi penawar menyembuhkan penyakit ego dan induvidualistik dalam diri manusia. Barulah aku faham, apa yang sebenarnya cuba disampaikan melalui tarian ini.

"Seperti gelombang di atas putaran kepalaku, Maka dalam tarian suci Mu dan aku pun berputar, Menarilah, Oh Pujaan Hati, Jadilah Lingkaran Putaran, Terbakarlah dalam nyala api-bukan dalam nyala lilin-Nya."

Mungkin ada yang terkeliru dan penting untuk dijelaskan bahawa, ia tidak bermaksud mengajak kita semua menari di hadapan Tuhan, apatahlagi menganggapnya sebagai amalan yang sama seperti solat, puasa, haji dll. Ianya merupakan hanya cerita cinta untuk memperkenalkan khazanah keislaman yang bernama Maulana Jalaludin Rumi yang terkenal di seluruh dunia. Tarian yang diberi nama Sufi Mehfil ini adalah merupakan tarian tradisi sufi yang bermakna Pesta Para Sufi. Salah satu bentuk tariannya adalah “The Whirling Dance” (memutar tubuh berlawanan dengan arah jarum jam) dilakukan secara bersama oleh sejumlah orang penari dibawah bimbingan seorang Murshid.



Siapa Maulana Jamaludin Rumi?

Maulana Jalaluddin Rumi adalah merupakan seorang tokoh besar dalam mempelopori mazhab cinta sejati melalui karya puisinya. Kehebatan Rumi terletak pada kedalaman ilmu dan kemampuannya dalam mengungkapkan perasaan cintanya dalam bahasa yang sangat indah. Setiap puisinya memberikan maksud yang amat mendalam. Dunia lebih mengenali beliau dengan gelaran Rumi yang diambil sempena nama tempat keliharannya iaitu di daerah Rum(Rome) iaitu suatu kawasan yang pernah dikuasai oleh Empayar Rome pada suatu ketika dahulu. Rumi bersama keluarganya telah mengembara ke tanah-tanah Islam lain, mengerjakan haji di Mekah dan akhirnya bapa Rumi mengambil keputusan untuk menetap di Konya, Anatolia yang kemudiannya merupakan sebahagian daripada kawasan Empayar Seljuk.

Asalnya Rumi adalah seorang ulama terkenal yang mempunyai kalangan murid yang ramai dan memimpin sebuah madrasah di Bandar Konya. Segalanya mula berubah setelah Rumi bertemu dengan seorang pengembara sufi bernama Syams dari Tabriz. Mereka banyak berbincang dan berdebat mengenai agama dan kesufian yang membuatkan Rumi semakin kagum dengan Syams dan Rumi menganggapnya sebagai guru. Dengan keasyikan tersebut, Rumi dikatakan sering meninggalkan kerja mengajarnya dan membuatkan anak murid Rumi berasa kecewa. Mereka marah dan menuduh Syams lah yang menjadi segala punca perubahan yang berlaku pada Rumi. Pada malam bertarikh 5 Disember 1248 sewaktu Rumi dan Syams dikatakan sedang berbincang, Syams dipanggil keluar dari pintu belakang dan terus tidak muncul kembali. Misteri kehilangan dikatakan kerana Syams diugut untuk pergi meninggalkan Rumi dan ada juga yang percaya bahawa anak Rumi iaitu Alaudin yang telah membunuh Syams. Setelah permergian Syams, Rumi menjadi begitu sedih dan sangat merindukan gurunya itu. Kesedihan inilah yang membawa Rumi kepada hasil puisi yang begitu puitis dan mendalam. Pada saat inilah kesufian Rumi mula timbul sehingga beliau menjadi seorang penyair sufi yang sangat dikagumi. Rumi juga telah mengembangkan tarekat Maulawiyah iaitu Tarekat yang dikenali dengan nama The Whirling Dervishes ataupun Darwis yang Berputar-putar seperti yang diceritakan tadi.

Jujur pada waktu dulu, bila aku dengar tajuk lagu sifu M Nasir iaitu Bila Rumi Menari, aku sangkakan Rumi yang dimaksudkan adalah huruf rumi yang 'menari'. Sekarang kenal la aku dengan MAULANA JALALUDIN RUMI (30 September 1207 – 17 December 1273).


Bila Rumi Menari

Kita menari bukan sebarang tarian
Asalnya dari tanah orang-orang pilihan
Bila terdengar masnawi ciptaan maulana
Ku bunuh nafsu lebur rantainya dari badan

Hingga hilang bangga diri
Berani hidup berani mati
Bagai musafir bertemu janji
Ini Darwis sudah gila berahi

Kita tak rindu pada siasah dunia
Perangkapnya membuat manusia hampa
Untuk bertemu impian bukan percuma
Mengorbankan yang tersangat kita cinta

Bagai Yunus dimakan paus
Ibrahim tak makan api
Bertemu kekasih di malam kudus
Luka di badan tak terasa lagi
Pukullah rebana jantungku bersyairlah maulana
Aku mabuk hakiki mendengar suaramu


Sayang... pada mereka yang tak mengerti
Sayang... pada hati tertutup mati
Bagai sangkar tanpa penghuni
Burung berharga terlepas lari


Rindu (ya maulana)
Kembali bertemu (ya maulana)
Hatiku merindukan pemiliknya (ya maulana)
Rindu (ya maulana)
Kembali bersatu (ya maulana)
Kembali bersatu dengan yang dikasihi


Rindu (ya maulana)
Kembali bertemu (ya maulana)
Hatiku merindukan pemiliknya (ya maulana)
Rindu (ya maulana)
Kembali bersatu (ya maulana)
Kembali bersatu dengan kekasih

Lagu dan Lirik : M.Nasir
Album : Phoenix Bangkit
© 2001 Luncai Emas Sdn. Bhd.

7 comments:

azmietaha said...

MENARIK
Ya Akiejack al Jawian....teruslah
menulis, semoga yang buta itu menjadi celik!

Akie Jack said...

Al Jawian? hehe
terima kasih bro Azmi...

Norhaidatul Azian Tajul Ariffin said...

Subhanallah,itu rupanya metafora yang terkandung di sebalik tarian sufi ni yer. Baru la Yan tau...Masa kat Indon tu hari ada macam kumpulan penduduk Islam kat Ampel Surabaya berselawat sambil menyanyi dan tepuk tepuk tangan mcm dikir barat pun ada.

Congrats Akie! Info yang sangat ilmiah :-)

Akie Jack said...

Terima kasih Yan sudi baca hehe...

Itulah saya sendiri pun baru faham makna disebalik tarian sufi ni,

adia_anarris said...

tak pernah tahu pun the meaning of that dance..macam tu ceritanya..and lagu m nasir tu pun tak pernah dengar. menarik ilmu ni. thanks for sharing :)

carl said...

thanks for info bro....;)

izzani raif said...

Salah satu impian saya nak tengok persembahan ni depan mata